Tuesday, October 14, 2014

Apabila Menteri membakul sampahkan Bahasa Melayu

Keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menukar TV Bernama saluran berita bahasa Inggeris sepenuhnya menjelang tahun depan bukan sahaja mengenepikan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan malah telah mencampakkan bahasa tersebut ke dalam bakul sampah.

Menurut Shaberry, langkah itu untuk menjadikan Bernama TV lebih berfokus dalam menyampaikan berita dan mampu menyiarkan laporan bersifat 'breaking news' dan 'real time' kepada penonton.
"Sekarang ini Bernama TV mengamalkan konsep pelbagai bahasa dalam rancangan dan beritanya dan ini adalah sesuatu yang sangat pelik dalam mana-mana industri penyiaran.

"Sebagai contoh jika ada berita mengenai kapal tenggelam ia mesti berdasarkan 'breaking news' dan 'real time', tetapi tiba-tiba masuk pula berita bahasa lain, orang akan lari dan menonton saluran lain," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu rasional Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadikan Bernama TV dan nasib wartawan serta editor Meja Berita bahasa Melayu di stesen tersebut.

Alasan Lucu Menteri
 
Justifikasi Menteri ini sangat lucu kerana jika beliau mahu BERNAMA menjadi saluran satu bahasa mengapa ia mesti bahasa Inggeris bukan bahasa Melayu? Apakah Shaberry mahu menyatakan saluran bahasa Melayu tidak sesuai lagi untuk majority rakyat Malaysia di bandar atau di kalangan pemilik ASTRO?

Memandangkan Shaberry yang membuat kenyataan mengenai keperluan Bernama TV menjadi saluran bahasa Inggeris sepenuhnya, kita mengadaikan saluran ini ditaja sepenuhnya oleh kerajaan. Apakah wajar kerajaan menaja sebuah saluran bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam negara yang menyatakan Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan?

Sepatutnya dari awal Bernama TV hanya menyiarkan berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris sahaja tanpa bahasa-bahasa lain.

Namun kepelbagaian bahasa bukan masalah utama kepada Bernama TV kerana ia merupakan satu keunikan.

Alasan Shaberry bahawa penonton akan beralih ke saluran lain bila ada kejadian yang memerlukan paparan laporan dari semasa ke semasa (real time reporting) kerana berlaku perubahan bahasa sangat melucukan. Ia merupakan masalah pengurusan bukannya masalah bahasa.

Jika terdapat kejadian sedemikian laporan sedemikian pengurusan editorial TV Bernama perlulah membuat liputan langsung dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan Negara ini.

Apa Tujuan Kewujudan Bernama TV?

Kita juga tertanya-tanya apakah Shabeery faham makna penubuhan Bernama TV? Bernama TV diwujudkan bagi memberi melaporkan berita yang seimbang, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia yang mahukan sumber maklumat sahih.

Bernama TV bukannya ditubuhkan untuk mengejar"ratings" bagi merebut "kek" iklan! Jika Bernama TV mahu mengejar ratings, maka sewajarnya ia menggugurkan nama Bernama yang melambangkan kredebiliti "plain journalism" berita

No comments:

Post a Comment